Kecoh! Jurunikah pengsan waktu pernikahan

Suasana ceria satu majlis akad nikah di Surau Darul Taqwa, Perumahan Kuala Telemong dekat sini semalam bertukar menjadi kelam-kabut dan cemas apabila jurunikah pasangan pengantin tersebut tiba-tiba pengsan serta dikejarkan ke klinik untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan kesihatan.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, majlis akad nikah pasangan pengantin Nurul Nadia Atiqah Abd. Rahman, 26, dan Muhammad Khairul Nizam Md. Zaid, 26, terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Ahli keluarga pengantin perempuan, Aidie Amin Yatim, 42, berkata, pada awalnya, majlis akad nikah itu berjalan lancar hinggalah tiba waktu khutbah nikah.

“Secara tiba-tiba, jurunikah yang dikenali Ayoh Ngoh Suf berusia lewat 70-an itu terbaring dan pengsan menyebabkan semua tetamu yang hadir terkejut dan kelam kabut menghantar jurunikah itu ke klinik berdekatan.

“Majlis pernikahan tertangguh hampir setengah jam kerana pihak keluarga pengantin perlu mencari jurunikah baharu bagi meneruskan majlis itu.

“Alhamdulillah, pencarian kami tidak lama kerana berjaya menemukan seorang lagi jurunikah yang secara kebetulan sedang bersarapan di sebuah kedai makan di sekitar kawasan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, majlis pernikahan tersebut akhirnya berjaya disempurnakan dan jamuan perkahwinan untuk sahabat handai dan saudara mara juga selesai diadakan semalam.

Mengulas lanjut, Aidie berkata, jurunikah yang pengsan itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan.

“Jurunikah itu dipercayai mengalami tekanan darah tinggi dan tahap kesihatannya agak kurang memberangsangkan, namun dia tetap menggagahkan diri untuk hadir ke majlis pernikahan itu kerana enggan menghampakan jemputan keluarga pengantin.

“Jurunikah itu memang terkenal di sekitar kawasan Kuala Telemong kerana penghayatannya ketika menyampaikan khutbah nikah lebih unik dan tidak hanya bersandarkan kepada teks sahaja.

“Dia akan memastikan kedua-dua pengantin memahami hikmah pernikahan dan hukum hakam agar hubungan itu kekal ke syurga, sekaligus menjadikan majlis pernikahan lebih bermakna dan berkat,” katanya.

Kecoh! Jurunikah pengsan waktu pernikahan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*