{VIDEO} Mayat wanita ditemui dalam semak

Mayat seorang wanita berusia 20 hingga 30-an ditemui di dalam semak di tepi jalan Kampung Alor Gali, Simpang Jenang, di sini, hari ini.

Mayat wanita lengkap berpakaian itu ditemui jam 2.30 petang tadi berhampiran parit, 30 meter dari jalan utama oleh penduduk kampung itu ketika sedang mencari daun palas sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Mohd Zain Mat Dris mengesahkan perkara itu.

Hasil siasatan mendapati, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan terlentang manakala bahagian kaki berada di tepi tebing, memakai sehelai seluar panjang warna hitam, baju lengan panjang warna merah jambu dan sehelai kain dipercayai tudung warna hitam yang berada di bahagian perut.

Tiada sebarang kesan pergelutan dan juga tiada tompokan darah ditemui di tempat mayat ditemui.

Hasil pemeriksaan pada badan mayat oleh pasukan forensik juga mendapati tiada sebarang kesan tikaman, tetekan atau keler.

Tiada petunjuk bagi mengesahkan sama ada mangsa telah dibunuh dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, barang kemas milik mangsa seperti cincin dan rantai leher masih berada di leher dan tangan mayat.

Polis turut mengesahkan tiada sebarang bukti fizikal yang ditemui berhampiran tempat mayat dijumpai yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Mayat mangsa masih belum dikenalpasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri dijumpai.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*