Saman Anwar : Mahkamah perintah Ketua PAS Perak fail pernyataan pembelaan

Mahkamah Tinggi di Taiping memerintahkan Ketua Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria memfailkan pernyataan pembelaan berhubung saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Peguam Sankara Nair yang mewakili pengerusi PH itu mengesahkan keputusan pengurusan kes hari ini mengenai saman sivil berkaitan dakwaan bahawa Anwar membawa agenda LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

“Yang Arif (Pesuruhjaya Kehakiman) Noor Ruwena Md Nurdin memerintahkan defendan (Razman) memfailkan (pernyataan) pembelaan selewat-lewatnya pada 31 Jan dan untuk plaintif memfailkan jawapan pembelaan selewat-lewatnya pada 20 Feb.

“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 24 Feb 2023, melalui zoom berhubung status terkini,” kata peguam itu.
Peguam Jaden Phoon turut mewakili Anwarmanakala Razman diwakili peguam Nurul Atiqah Badrul Hisham.

Pada 5 Dis tahun lepas, Anwar yang juga presiden PKR memfailkan saman fitnah atas kapasiti peribadi terhadap Razman.

Terdahulu pada 9 Nov, Ahli Parlimen Tambun itu dilaporkan mengeluarkan surat tuntutan kepada pemimpin PAS itu bagi menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan di membawa agenda LGBT dan menjadi boneka DAP.

Surat tuntutan itu menyatakan Razman membuat dakwaan itu di pasar malam Tebuk Pancur di Perak tiga hari sebelum itu (6 Nov).

Menurut kertas kausa saman sivil tersebut, Anwar mendakwa ucapan itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Razman yang dikatakan mendapat lebih 94,4000 tontonan, 5,100 reaksi, 429 perkongsian, dan lebih 2,600 tanda komen setakat hari ini.

Anwar menyangkal dakwaan itu dan berkata dia memiliki imej yang sangat disanjungi di Malaysia dan dunia, serta sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam.

Anwar mendakwa tuduhan itu disiarkan tanpa defendan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu mengenai kebenaran dan kesahihannya.

Dia juga berkata dakwaan itu telah menghancurkan reputasinya serta mencemarkan karakter dan nilai sosialnya dengan teruk.

Anwar juga mendakwa Razman keberatan untuk memohon maaf dan dengan sengaja tidak memadamkan penerbitan yang mengandungi dakwaan tersebut.

Menerusi saman sivil itu, Anwar menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan, dan injunksi untuk menghalang Razman daripada terus menyebut, menulis, atau menerbitkan perkataan fitnah tersebut.

Plaintif juga menuntut faedah lima peratus ke atas pampasan yang diberikan mahkamah dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh, kos atas dasar peguam cara dan anak guam serta relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*