{VIDEO} AFF 2022 | Harimau Malaya ‘hancurkan’ Singapura 4-1

{VIDEO} Harimau Malaya ‘hancurkan Singapura 4-1. Keraian ala festival yang dijanjikan skuad Harimau Malaya nyata berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila pasukan negara gah membenam Singapura 4-1 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF, malam tadi.

Beraksi di depan kira-kira 65,147 penyokong jelas menghadiahkan kegembiraan yang puas buat seluruh peminat sekali gus menyaksikan pasukan negara menempah tiket ke separuh akhir bagi menebus duka edisi lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan di belakang Vietnam dan Indonesia.

Namun pada kempen kali ini, taring skuad Harimau Malaya tampak lebih tajam dan berjaya menamatkan saingan selaku naib juara untuk menentang juara Kumpulan A yang juga juara bertahan, Thailand.

Dalam aksi terakhir kumpulan itu, pengendali negara Kim Pan-gon membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama ketika tewas 0-3 kepada Vietnam dengan mempertaruhkan Quentin Cheng yang menggantikan Azam Azmi Murad yang digantung dua perlawanan ekoran kad merah diterimanya sebelum ini.

Safawi Rasid juga disenaraikan bagi menggantikan Lee Tuck yang disimpan sebagai ‘senjata rahsia’ di babak kedua permainan.

Malaysia yang wajib mencari kemenangan bagi memastikan tiket ke pusingan berikutnya nyata menguasai sepenuhnya aksi, dengan Singapura dilihat lebih banyak menunggu di kawasan sendiri.

Tonggak baharu Selangor FC, Faisal Halim yang sudah meledak tiga gol dalam kempen kali ini memiliki tiga peluang keemasan masing-masing di minit kelapan, 15 dan 17 namun kesemuanya tidak menepati sasaran.

Pelawat yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Takayuki Nishigaya turut berpeluang mencetak gol tetapi percubaan leret Song Uiyoung sekadar melintasi pintu gol negara di minit 26.

Keampuhan benteng Singapura akhirnya roboh di minit ke-35 apabila tindakan bijak Safawi yang merampas bola sebelum melakukan hantaran lintang berjaya dihidu Darren Lok untuk menanduk tepat menuju ke penjuru atas gawang, sekaligus menewaskan Hassan Sunny.

Bersambung babak kedua, rentak sama terus diperagakan pasukan negara dan hasilnya Stuart Wilkin meledak dua gol menarik, termasuk ledakan jarak jauh 25 meter di minit 51 dan rembatan padu dalam kotak penalti selang empat minit kemudian.

Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri tidak menyerah kalah apabila meraih gol saguhati di minit 85 menerusi Faris Ramli sebelum penyerang gantian negara, Sergio Aguero melengkapkan malam penuh gemilang dengan gol keempat.

Di aksi separuh akhir nanti, Malaysia akan menanti kunjungan Thailand di SNBJ pada Sabtu ini, sebelum meneruskan aksi timbal balik kedua di Bangkok, Selasa depan. Manakala satu lagi aksi separuh akhir, babitkan pertemuan antara Indonesia dan Vietnam dengan aksi pertama di Jakarta Jumaat ini dan sebelum ke Hanoi, Isnin nanti.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*